07 Jenis Bisnes Boleh Dibina Dalam Industri Travel
Kalau sebut bisnes travel, ramai orang terus terbayang buka travel agency, jual pakej percutian dan bawa orang melancong.
Betul?
Tapi Sebenarnya, industri travel ni lebih luas daripada apa yang kita selalu sangkakan.
Ada yang menjual pakej, ada yang menguruskan perjalanan, ada yang membina pengalaman pelancongan.
Kalau anda masih berminat nak masuk industri travel, ini tujuh jenis bisnes yang boleh anda pertimbangkan.
#1. Travel Agency
Ini antara model bisnes yang paling biasa orang kenal.
Travel agency membantu pelanggan mendapatkan produk seperti tiket penerbangan, hotel dan pakej percutian. Ada yang menjual produk daripada supplier, manakala ada juga yang membina pakej sendiri.
Pendapatan boleh datang daripada komisen, margin jualan atau caj perkhidmatan, bergantung pada produk dan perjanjian dengan supplier.
Cuma jangan anggap kerja travel agency sekadar menjual pakej. Ada tempahan, pembayaran, pertanyaan pelanggan dan pelbagai urusan lain yang perlu diuruskan.
# 2. Tour Operator
Tour operator memberi tumpuan kepada pembinaan dan pengendalian produk perjalanan.
Contohnya, anda nak membina pakej tujuh hari ke Turkiye. Anda perlu menyusun itinerari, mendapatkan harga hotel, mengatur pengangkutan, memilih aktiviti dan mengira kos keseluruhan.
Selepas itu, pakej tersebut boleh dijual melalui saluran sendiri atau travel agency lain.
Maksudnya, anda bukan sekadar menjual produk orang lain. Anda turut membina produk perjalanan yang mahu ditawarkan kepada pelanggan.
#3. Inbound Tour Operator
Model ini memberi tumpuan kepada pelancong yang datang ke negara sendiri dari luar negara.
Contohnya, sebuah syarikat di Malaysia menguruskan perjalanan pelancong dari Jepun yang datang bercuti ke Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.
Syarikat tersebut boleh menyusun pengangkutan, penginapan, lawatan, tour guide dan aktiviti sepanjang perjalanan.
Pelanggan boleh datang daripada individu, kumpulan, syarikat luar negara atau travel agency yang mencari rakan operasi tempatan.
Kalau anda mempunyai pengetahuan tentang destinasi tempatan, rangkaian supplier dan kebolehan menguruskan perjalanan, model inbound boleh menjadi salah satu pilihan.
Baca Kali : Macam Mana Industri Travel Berfungsi
#4. Outbound Tour Operator
Outbound pula memberi tumpuan kepada perjalanan penduduk tempatan ke luar negara.
Contohnya, syarikat Malaysia membina pakej ke Jepun, Korea Selatan, China, Eropah atau destinasi lain.
Antara perkara yang perlu diuruskan ialah pengangkutan, penginapan, itinerari, aktiviti, kos dan penyelarasan dengan supplier di negara yang dilawati.
Model ini boleh melibatkan perjalanan berkumpulan, pakej persendirian, percutian keluarga atau produk khusus mengikut minat pelanggan.
Cuma satu perkara perlu difahami: outbound bukan semata-mata mencari destinasi yang menarik. Anda juga perlu memastikan pakej itu boleh dijual pada harga yang sesuai dan dilaksanakan dengan baik.

#5. Niche Travel
Tak semua bisnes travel perlu menjual pakej ke semua destinasi untuk semua orang.
Anda boleh memilih satu niche seperti:
– Muslim-friendly travel
– Family holiday
– Adventure travel
– Luxury travel
– Honeymoon package
– Educational tour
Kelebihan niche ialah anda boleh fokus pada kumpulan pelanggan yang lebih jelas dan membina produk berdasarkan keperluan mereka.
Tetapi niche yang menarik tak semestinya menguntungkan. Anda masih perlu menguji permintaan, persaingan, kos dan margin sebelum mengembangkan perniagaan.
#6. DMC (Destination Management Company)
DMC ialah syarikat yang mempunyai pengetahuan serta rangkaian operasi di destinasi tertentu.
Contohnya, sebuah travel agency Malaysia mahu membawa kumpulan pelanggan ke Vietnam tetapi tidak mempunyai pasukan operasi di sana.
Mereka boleh bekerjasama dengan DMC tempatan untuk menguruskan hotel, pengangkutan, lawatan, tour guide dan keperluan darat.
DMC biasanya membina hubungan dengan supplier di destinasi dan membantu syarikat lain melaksanakan perjalanan yang dirancang.
Model ini banyak bergantung pada pengetahuan destinasi, hubungan pembekal, keupayaan menyelaras operasi dan kebolehpercayaan rakan niaga.
Kalau anda benar-benar mengenali satu destinasi dan mempunyai rangkaian supplier yang kukuh, model DMC boleh menjadi pilihan untuk diterokai..
# 7. Corporate Travel Management
Bukan semua pelanggan travel business ialah individu yang nak bercuti.
Syarikat juga mempunyai keperluan perjalanan untuk mesyuarat, latihan, lawatan kerja, persidangan dan urusan perniagaan.
Corporate travel management memberi tumpuan kepada pengurusan perjalanan seperti tempahan penerbangan, hotel, perubahan jadual dan penyelarasan perjalanan pekerja.
Berbanding pelanggan percutian biasa, pelanggan korporat mungkin mempunyai polisi perjalanan, proses kelulusan dan keperluan pelaporan tertentu.
Model ini sesuai untuk perniagaan yang mampu menguruskan tempahan dengan teratur dan memberikan perkhidmatan yang konsisten.
Namun, mendapatkan pelanggan korporat mungkin memerlukan proses jualan yang lebih panjang serta keupayaan memenuhi keperluan kontrak dan perkhidmatan.
Jadi, Bisnes Travel Mana Yang Sesuai Untuk Anda?
Pada aku, jangan pilih sesuatu model semata-mata kerana nampak popular.
Cuba tanya diri sendiri:
– Aku lebih suka menjual, menguruskan operasi atau membina produk?
– Siapa pelanggan yang aku mahu sasarkan?
– Berapa modal dan masa yang aku mampu sediakan?
– Apakah pengetahuan atau rangkaian yang aku sudah ada?
Anda tak semestinya perlu membina semua bahagian industri sekali gus. Mulakan dengan model yang sesuai dengan kemampuan dan uji permintaan sebelum berkembang.
Jika anda bercadang menjalankan travel agency atau tour operating business di Malaysia, semak keperluan lesen dan syarat operasi terkini dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Industri travel bukan satu jenis bisnes sahaja.
Ada travel agency, tour operator, inbound dan outbound, DMC, corporate travel, dan niche travel
Setiap model mempunyai cara operasi, sumber pendapatan, keperluan modal dan cabaran yang berbeza.
Jadi, sebelum anda mula memikirkan nama syarikat, logo atau website, cuba fahami dahulu model yang anda mahu bina.
Sebab akhirnya, yang lebih penting bukan sekadar anda berjaya masuk industri travel.
Yang lebih penting ialah anda tahu bisnes apa yang anda mahu bina, siapa pelanggan anda dan bagaimana bisnes itu boleh menjana keuntungan secara mampan.
Follow Social Media : Facebook ● Instagram ● Youtube ● Thread
